PERKONGSIAN PERSOALAN SEMASA
SOALAN
Minta jasa baik Dr, untuk menerangkan trend orang berkahwin
masa kini yang biasanya membuat sesi pre-wedding atau selepas kahwin. Bagaimana
pula pendapatan atau upah bagi jurugambar yang terbabit. Terima Kasih Dr.
Gambar hiasan yang di ambil sendiri penulis
satu gambar penuh dengan cerita..
JAWAPAN
Menurut hukum Islam, perkahwinan sememangnya wajar
dihebohkan dan digalakkan untuk menganjurkan majlis kenduri kendara. Selain
menyambut hari bahagia, ia juga sebagai iklan kepada masayarakat berkenaan
perkahwinan yang dibuat bagi mengelak salah tanggapan terhadap pasangan di
kemudian hari. Hukum kenduri kahwin dan menghebahkannya ialah sunat sahaja
sebagaimana sabda baginda:
أولم ولو بشاة
"Adakanlah kenduri kahwin walaupun hanya dengan seekor
kambing."
Pun begitu, diakui bahawa hari ini susah semakin merebak
trend menggunakan khidmat jurugambar professional atau separa professional
untuk aktiviti bergambar sebagai kenangan perlu diteliti hukumnya.
Ringkasnya begini:-
1. Hukum bergambar secara umum : ia adalah harus dan
tertakluk kepada jenis gamabr yang diambil. Demikian fatwa majoriti ulama
kontemporari termasuk Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradawi.
2. Bergambar selepas bernikah
Ia bergantung kepada beberapa keadaan seperti berikut :-
a- Pakaian yang
dipakai oleh pihak pengantin : Sekiranya pakaiannya mendedahkan aurat secara
jelas atau sipi-sipi terdedah. Penggambaran itu adalah DIHARAMKAN jika diambil
oleh jurugambar bukan mahram kedua-dua pengantin. Jika diambil oleh mahram
kedua-duanya, maka tidaklah mengapa dengan syarat gambar yang dipetik tidak
disiarkan kepada awam sama ada di flicker, facebook, youtube, blog atau
lainnya. Ia hanya untuk kenangan peribadi sahaja.
Berhias (tabarruj) dengan menampakkan aurat dengan tujuan
untuk dipamerkan kepada orang ramai adalah dilarang. Firman Allah
وَلا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ
الأُولَى
Bermaksud: Dan janganlah kamu bersolek(berhias) seperti mana
wanita jahiliyah berhias."Janganlah kamu bertabarruj seperti kelakuan
orang zaman jahiliah dahulu." (Al-Ahzab: 33)
b- Pakaian menutup
aurat namun dengan aksi peluk memeluk, cium mencium dan lain-lain aksi yang
agak boleh mengghairahkan: Ia juga haram sekiranya jurugambar bukan mahram
khususnya bagi pengantin wanita.
c- Pakaian menutup aurat dengan sempurna cuma bersolek dan
berhias menarik dengan jurugambar asing atau bukan mahram. Dalam konteks ini,
saya berpandangan, hukumnya adalah DIBENARKAN dengan syarat tiada aksi intim
ditayangkan di hadapan jurugambar. Gambar juga DIBENARKAN untuk disebarkan
kepada rakan taulan secara berpatutan
sekadar member maklum perkahwinan telah dilangsungkan.
Adapun, jika timbul perasaan riya’, berbangga dengan pakaian
yang dipakai dan majlis yang dianjurkan, itu merupakan dosa berasingan yang
dilakukan oleh pasangan. Itu tidaklah menjadikan seluruh majlis dan aktiviti
bergambar itu sebagai haram. Ia dianggap sebagai haram lighairihi jika berlaku.
Justeru, jika ada pasangan yang merasakan persiapan dan
pakaian mereka terlalu mahal dan secara logiknya akan mengundang perasaan
cemburu berlebihan di kalangan awam yang melihat, sebaiknya gambar yang
terpapar diminimakan dari sebarang hebahan awam bagi menjaga hati sendiri dan
orang lain yang akan melihat.
1. Bergambar sebelum bernikah (pre-wedding)
Ia juga bergantung kepada keadaan seperti berikut :-
a. Pakaian menutup aurat dengan sempurna dan pasangan
diambil gambar mereka TANPA bersentuh atau TANPA lain-lain aksi yang boleh
mengghairahkan seperti berbaring, berpelukan, berpegangan tangan atau lain-lain
aksi yang khas untuk suami isteri yang sah sahaja. Dalam keadaan sebegini
hukumnya di antara MAKRUH dan HARAM kerana dibimbangi nafsu masing-masing sukar
dikawal apabila berada secara berdekatan, lalu ia boleh sahaja termasuk di dalam
kategori “mendekati zina”. Justeru, ia sangat elok untuk dijauhi kerana
keperluannya amat kurang dan hampir tidak diperlukan malah boleh jatuh di dalam
kes pembaziran. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah engkau
membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau”.(Surah al-Isra’ 26)
Imam al-Jurjani mengatakan bahawa al-Israf ialah
mengeluarkan harta lebih daripada perkara yang diperlukan.Manakala al-Tabzir
pula ialah mengeluarkan harta bukan kepada perkara yang diperlukan (perkara
maksiat).
b. Pakaian tidak menutup aurat atau dengan aksi bak suami
isteri : Ia adalah HARAM tanpa sebarang keraguan lagi. Ini juga fatwa yang
telah dikeluarkan oleh Majlis Ulama Indonesia yang mana petikan beritanya
berbunyi :
Foto pra-perkahwinan pasangan pengantin baru Islam yang
merakamkan aksi intim sebelum majlis akad nikah, dikategorikan sebagai budaya
haram di sisi Islam.
Kelaziman bakal pengantin beragama Islam merakamkan foto
secara intim termasuk berpelukan dan berbaring di atas katil sebelum sah
bergelar suami isteri daripada segi hukum adalah bertentangan dengan ajaran
Islam.
Sehubungan itu, Institut Kebudayaan Melayu Jambi
mengeluarkan kenyataan bahawa budaya berkenaan harus dicegah seiring dengan
fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI) berhubung isu yang
sama.
Menurut pengerusi bahagian kajian dan pembangunan institut
berkenaan, Djunaidi T. Noer, amalan merakamkan foto pra-perkahwinan bukanlah
budaya masyarakat Jambi dan tersasar daripada hukum Syariah.
"Kami menyeru agar semua pasangan yang bertunang dan
pengantin beragama Islam supaya tidak merakamkan foto pra-perkahwinan seperti
berpeluk, berbaring antara satu sama lain di katil dan sebagainya. Ia merupakan
haram," tegas Djunaidi seperti dilaporkan akhbar The Jakarta Post, hari ini.
UPAH JURUGAMBAR
Mankala upah jurugambar semuanya tertakluk kepada hukum yang
disebut di atas tadi, Jelasnya ia menjadi HARAM jika gambar intim lagi mesra
pasangan dalam keadaan pre-wedding.
Boleh pula menjadi halal lagi DIBENARKAN jika jurugambar
adalah mahram pengantin perempuan khususnya.
Juga upahnya menjadi HARAM jika pengantin tidak menutup
aurat, dan dibantu untuk memetik gambar mereka dan dihias menggunakan teknik
fotografi yang canggih bagi mencantikan hasilan foto. Semua itu dikira
bersubahat dalam perkara dosa dan maksiat yang ditegah oleh Allah SWT.
Pendapatan sedemikian adalah TIDAK BERSIH lagi haram.
Boleh menjadi HARUS walau jurugambar bukan mahram tapi
gambar diambil selepas pernikahan dan menutup aurat dengan sempurna serta tiada
aksi yang boleh kebiasaan boleh merangsang nafsu biasa lelaki.
sumber :Dr Zaharuddin Abd Rahman
Tujuan penulis berkongsi dengan pembaca sekalian adalah kerana kamera merupakan trend anak muda kini, jadi saya juga sering di tanyakan mengenai hal ini oleh rakan-rakan geng penangkap cahaya ini mengenai hal tersebut. semoga dengan perkongsian ini memberikan makna pada teman-teman saya yang berada di luar sana untuk memilih mengambil gambar yang "HALAL" sahaja, mudah-mudahan rezeki itu menjadi berkat yang menjadi darah daging kita. Ingatlah teman, rezeki yang haram yang kita ambil menjadi darah daging kita kelak akan di bakar API NERAKA. Jadi berhati-hatilah dalam menjadi jurufoto. Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment